SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU ROSLAN...SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU ROSLAN...SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU ROSLAN...SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU ROSLAN

Sunday, 5 May 2013

Jom Kenal Hutan Kita: Hutan Paya Bakau.



Hutan Paya Bakau


Hutan paya bakau boleh ditemui di sempadan antara laut dan daratan. Hutan ini merupakan sebahagian daripada hutan tropika. Ianya tumbuh dengan subur di kawasan tropika dan sub-tropika antara 30oU dan 30oS latitudnya. Dijumpai di seluruh benua kecuali Eropah, Artik dan Antartik tetapi kawasan yang paling kaya adalah di sekitar Asia iaitu dari India, Bangladesh hinggalah ke Asia Tenggara.

Di Semenanjung Malaysia seluas 106,104 ha hutan paya bakau boleh dijumpai tetapi hanya 1.8% sahaja yang masih kekal keasliannya. Dari jumlah itu sebahagian besarnya berada di Perak (43,506 ha), Johor (24,747 ha), Selangor (15,202 ha), Pahang (11,502 ha) dan Kedah (8,034 ha). Hutan ini adalah satu ekosistem yang unik dari segi flora dan faunanya serta amat penting kepada manusia.

Kepentingan hutan paya bakau:

1.  Hutan paya bakau adalah sempadan antara daratan dan lautan. Semua persisiran pantai menghadapi bahaya hakisan akibat tindakan ombak dan arus pasang surut. Vegetasi hutan paya bakau dapat menstabilkan persisiran pantai, tebingan sungai dan estuaries dengan memberi perlindungan dari arus pasang surut, ombak dan ribut. Dipercayai kekerapan Bangladesh dilanda banjir adalah akibat kehilangan kawasan paya bakau sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

2. Hutan paya bakau bukan sahaja melindungi daripada hakisan tanah tetapi mengumpulkan semula tanah yang terhakis dari laut. Ianya berlaku apabila ombak menolak tanah/lumpur dari laut ke daratan dan hutan paya bakau dengan sistem akarnya yang unik dapat menggumpul tanah berkenaan. Ini merupakan fenomena yang unik, kerana kecenderungan laut untuk menengelami daratan.

3. Hutan paya bakau merupakan tempat yang sesuai bagi pembiakan beberapa spesies seperti ikan, ketam, udang dan, kerang di mana hutan ini merupakan tempat hidupan berkenaan menetas dan membesar sebelum kembali ke laut. Jika hilangnya hutan ini ianya bukan sahaja memberi kesan tidak langsung tetapi juga kesan langsung ke atas ekonomi sesebuah negara akibat kehilangan pendapatan dari industri perikanan.

4.  Dikebanyakan negara di Asia Tenggara dan Pasifik, hutan paya bakau dikomersilkan dengan mengeluarkan kayu untuk pembinaan, kayu api dan arang. Pengalaman menunjukkan bahawa jika aktiviti ini diurus dengan sempurna, ianya dapat menghasilkan barangan tanpa merosakkan hutan ini dengan teruk dan sementara itu ianya boleh mengekalkan sebagai nursery bagi hidupan laut.

No comments:

Post a Comment